PENGENALAN
GELANGGANG BOLA BALING DAN UKURAN PADANG/GELANGGANG (KAWASAN PERMAINAN)
Permukaan gelanggang mestilah keras dan rata. Gelanggang yang digunakan boleh merupakan gelanggang berumput di padang terbuka atau gelanggang bersimen atau berparket di dalam dewan yang tertutup. Gelanggang permainan berbentuk segiempat bujur, 40 meter panjang di garisan tepi dan 20 meter lebar di garisan gol. Gelanggang permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang sama luas oleh satu garisan tengah. Setiap kawasan gol mengandungi satu garisan kawasan go yang berjejari 6 meter dari tepi dalam tiang gol. Garisan balingan percuma adalah putus-putus dan berjejari 9 meter dari tepi dalam tiang gol. Panjang garisan penalti ialah 1 meter dan berjarak 7 meter dari tengah garisan gol. Panjang garisan penjaga gol pula ialah 15 cm dan jaraknya dari tengah garisan gol ialah 4 meter. Di dua garisan tepi, terdapat dua garisan pertukaran pemain dengan panjang 15 cm dan jaraknya dari garisan tengah ialah 4.5 meter. Semua garisan dalam gelanggang perlu ditandakan secara jelas dengan ukuran selebar 5 cm.
BOLA
Bola harus berbentuk bulat dan diperbuat daripada kulit atau getah berwarna yang tidak terlalu keras. Berat dan lilitan bola untuk setiap kategori pemain adalah seperti berikut :
1. Lelaki dan remaja lelaki (16 tahun ke atas) Bola saiz 3. Berat antara 425 g sehingga 475 g. Lilitan antara 58 cm hingga 60 cm.
2. Wanita dan remaja perempuan (14 tahun ke atas) dan remaja lelaki (12 tahun sehingga 16 tahun) Bola saiz 2. Berat antara 325 g hingga 375 g. Lilitan antara 54 cm hingga 56 cm
3. Remaja perempuan (8 tahun hingga 14 tahun) dan remaja lelaki (8 tahun hingga 12 tahun) Bola saiz 1. Berat antara 290 g hingga 330 g. Lilitan antara 50 cm hingga 52 cm.
Biasanya, dua biji bola yang telah diperiksa dan disahkan oleh pengadil akan disediakan bagi setiap perlawanan. Bola yang digunakan dalam sesuatu perlawanan tidak boleh ditukar ganti kecuali dengan sebab-sebab tertentu. Di peringkat antarabangsa, hanya bola yang ditandakan dengan logo IHF (Kesatuan Bola Baling Antarabangsa) dibenarkan dalam sesuatu pertandingan.
TIANG GOL
Tiang gol perlu diletakkan di tengah-tengah garisan gol. Tiang gol terdiri daripada dua batang tiang tegak yang panjangnya 3 meter dan tingginya 2 meter. Kedua-dua tiang ini disambungkan oleh sebatang palang empat segi yang panjangnya 3.16 meter. Tiang gol diperbuat daripada kayu atau bahan sintetik yang serupa dan dicat dengan warna yang sama dengan ukuran 28 cm. Di bahagian lain tiang gol dan palang ialah 8 cm.
PEMAIN DAN PAKAIAN
Pakaian untuk pemain lelaki dan pemain perempuan terdiri daripada baju lengan pendek atau panjang, seluar pendek, stoking dan kasut biasa atau but. Semua pemain gelanggang hendaklah berpakaian serupa (seragam) kecuali penjaga gol yang perlu memakai warna pakaian yang berlainan daripada pemain lain dalam pasukannya dan pemain pasukan lawan. Pemakaian segala alat yang dianggap berbahaya kepada pemain-pemain adalah tidak dibenarkan. Setiap pasukan Bola Baling perlu terdiri daripada 12 orang pemain, iaitu 10 orang pemain gelanggang dan dua orang penjaga gol. Pemain-pemain dibenarkan memakai jersi bernombor antara 1 orang hingga 20. No 1, 12 dan 16 dikhaskan untuk penjaga gol sahaja manakala nombor-nombor lain adalah untuk pemain-pemain gelanggang.
REFLEKSI
Bola Baling merupakan salah satu permainan padang yang terdapat di Malaysia ini. Mengikut sejarahnya, Bola Baling (handball berasal daripada Eropah. Bola Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang diperlukan dalam Bola baling adalah tidak banyak. Peralatan yang diperlukan ialah padang atau gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.
Kemahiran asas yang terdapat dalam Bola Baling ialah berlari, melompat, hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol. Setiap kemahiran asas ini mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan ke dalamnya. Sebagai contoh, dalam kemahiran hantaran bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah sistem tuas di mana bola sebagai beban, lengan sebagai daya dan siku sebagai fulkrum.
Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah Hukum Newton Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah betul untuk mengurangkan inersia bola bagi mengelakkan kecederaan berlaku. Selain itu, prinsip sains yang diaplikasikan dalam kemahiran menjaring ialah sistem tuas dan daya. Sistem tuas diaplikasikan ketika bola dihayunkan oleh tangan manakala daya diaplikasikan ketika kaki mengikut lajak yang diperlukan untuk memberikan daya yang kuat. Setiap kemahiran mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan supaya kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan bagi mengelakkan kecederaan berlaku kepada pemain.
No comments:
Post a Comment